tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan

My photo
Shah Alam, Selangor, Malaysia
SILA HANTARKAN KARYA ANDA BERSERTA GAMBAR KEPADA KAMI DI ALAMAT karseza09@yahoo.com

Wednesday, February 25, 2009

HADITH MINGGU INI

”Tidak sempurna Iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji”

[ Hadith Riwayat Ahmad]

Soal Jawab Agama 5

SOALAN : WAJIB DIAM BILA KHUTBAH JUMAAT?
Ustaz, memang tidak dinafikan mendengar khutbah itu hukumnya adalah wajib, tetapi bagaimana sekiranya di pertengahan khutbah kita mendengar ucapan salam dari kawan, apakah kita wajib mengucap slam itu?
JAWABAN:
Benar, ketika Khatib berkhutbah para Jemaah mestilah diam, kerana Imam 4 mazhab (Syafiie, Maliki, Hambali, Hanafi) telah sepakat bahawa mendengar khutbah itu adalah syarat sah Jumaat. Di dalam Kitab Taudihul Ahkam yang saya baca, terdapat beberapa percanggahan pendapat mengenai menjawab salam dan menjawab doa orang bersin . Imam Ahmad melalui jalan riwayat Atho’ ada menyebutkan: orang yang mendengar khutbah tidak boleh menjawab salam dan menjawab doa orang bersin, jika tidak mendengar khutbah tidak mengapa, walaubagaimanapun ada hadith yang diriwayatkan oleh as-Syaa’bi, sa’id bin Jubair, dan Ibrahim an-Nakhoie yang jelas melarang menjawab salam dan menjawab doa orang bersin ketika khatib sedang berkhutbah. Kesimpulannya lebih berat kepada Wajib diam bila mendengar khutbah Jumaat ., waallahu Aklam

SUMBER : KOLEKSI SOAL JAWAB MAHASISWA PENYELIDIKAN & SUNTINGAN : HABIHA @ CITU UiTM

Sedutan Khutbah Jumaat

”KEHIDUPAN DUNIA PENENTU KEBAHAGIAAN DI AKHIRAT”

Sebagai bukti keadilan Allah SWT. Ganjaran dan balasan di akhirat sangat setimpal dengan amalan setiap makhluknya. Sesungguhnya kehidupan akhirat itu berkait rapat dengan kehidupan kita semasa di dunia ini. Jika amalan kita soleh, maka sejahtera dan berbahagialah kita di akhirat kelak. Tetapi sekiranya amalan kita buruk, maka derita dan sengsaralah kita. Ibadah harian kita seperti solat, puasa, berzakat dan mengerjakan haji hanya sebahagian kecil daripada masa hidup kita sebaliknya kita banyak mempergunakannya untuk mengejar kebahagiaan hidup di dunia. Persoalan penting di sini adakah itu tergolong dalam amalan soleh. Adakah cara kita mendapatkan keperluan makanan, pakaian, rumah, kenderaan, pangkat itu betul. Islam menuntut supaya sentiasa memperhati dan mengawasi setiap amal yang dikerjakan. Ini kerana di akhirat nanti Allah SWT akan bertanya kepada umat manusia tentang segala nikmat yang mereka perolehi semasa di dunia dahulu. Manusia ditugaskan untuk memikul amanah besar dalam kehidupan bukan sekadar berseronok-seronok. Bahkan manusia tidak dijadikan hanya untuk hidup di dunia yang kecil dan binasa ini sahaja, tetapi mereka dijadikan pula untuk kehidupan yang kekal abadi. Kita perlu memperhambakan diri kepada Allah SWT dalam sesuatu pekerjaan duniawi mestilah antara lain mematuhi perkara-perkara berikut:
Pertama :Pelaksanaan sesuatu pekerjaan hendaklah diniatkan kerana mencari keredhaan Allah.
Kedua : Hendaklah sesuatu pekerjaan adalah perkara yang diharuskan oleh syarak. Adalah berdosa menjalankan kegiatan yang diharamkan oleh syarak.
Ketiga : Hendaklah sesuatu pekerjaan itu dilaksanakan dengan cara-cara yang di haruskan oleh syarak, yang berprinsipkan ta’abudd dan mementingkan kemaslahatan ummah. Haram samasekali kegiatan yang dilaksanakan dengan kaedah yang di pengaruhi oleh runtunan hawa nafsu dan tipu daya syaitan.

Kesimpulannya dalam mencapai apa juga tujuan dan matalamat dalam kehidupan, Islam telah menetapkan panduannya iaitu bercirikan ta’abuddiyyah dan ihsan

SUMBER TEKS : IHSAN JAKIM : 22 August 2008 DIBACA OLEH KHATIB PADA : 20 FEB 2009

BIMBINGAN SEERAH SIRI 04


Di dalam kisah nabi Luth terdapat penghinaan terhadap perbuatan dosa homoseks dan ancaman dari Allah dengan azab yang pedih bagi pelakunya di dunia dan akhirat.

Homoseks (liwat) adalah seburuk-buruk perbuatan keji. Kerana ia menunjukkan atas adanya kerosakan dan penyakit di dalam tabiat kemanusiaan dan bahayanya sangat besar bagi masyarakat, malah telah menurnkan darjat manusia menjadi lebih rendah daripada binatang.

Al-Quran telah mendedahkan perbuatan keji ini dan Allah telah mencelanya di dalam banyak ayat-ayatNya. Kaum Luth yang telah dijangkiti oleh penyakit homoseksual (liwat) itu telah digambarkan oleh al-Quran dengan sifat-sifat yang tercela. Firman Allah SWT bermaksud: “Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki di antara manusia dan kamu tinggalkan isteri-isteri yang telah dijadikan Tuhanmu untukmu, bahkan kamu adalah orang-orang yang melampaui batas.” (asy-Syu’ara:165-166)

Mereka telah melampaui batas-batas syariat Allah, serta nilai-nilai kebenaran dan kebaikan, sehingga mereka termasuk orang-orang derhaka yang kederhakaannya harus dibalas dengan seksaan. Allah menggambarkan mereka dengan kebodohan sebagaimana firmanNya bermaksud: “Mengapa kamu mendatangi lelaki (memenuhi) nafsu (mu), bukan (mendatangi) wanita? Sebenarnya kamu adalah kaum yang tidak mengetahui (akibat perbuatanmu).” (an-Naml:55)

Allah SWT juga menggambarkan mereka ini dengan sifat berlebih-lebihan, firmanNya bermaksud: “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsunya (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang berlebih-lebihan.” (Al-A’raf:81)

Mereka ini berlebih-lebihan dalam nafsu dan dalam melanggar batas yang telah digariskan oleh Allah kepada hambaNya. Orang yang suka berlebih-lebihan adalah teman-teman syaitan yang merosakkan masyarakat.

Kota Sodom yang terletak di daerah Jordan yang bersempadan dengan Palestin adalah negeri pertama yang telah tersebar perbuatan keji ini. Allah SWT telah menerangkan azab yang telah menimpa negeri tersebut: “maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang keras.”

Allah SWT juga memperingatkan kepada seluruh manusia di muka bumi ini agar menjauhi perbuatan ini, jika tidak, mereka juga akan ditimpa bencana. Ketika al-Quran menceritakan tentang kaum Luth dan azab yang telah menimpa mereka, Allah pun menambahkan dengan firmanNya: “Dan seksaan itu tiadalah jauh dari orang-orang yang zalim.” Maksudnya adalah bahawa seksaan itu juga akan menimpa orang-orang yang melakukan perbuatan kaum Luth. Amaran Allah ini terus berkumandang di setiap masa untuk memperingatkan umat-umat seterusnya akan akibat perbuatan tersebut.

FOKUS MINGGU INI 5

LAIN DI MULUT, LAIN DI HATI

Oleh: Hjh. Nor Rihah Hj. Mohd Nadzir (K.B.,P.A)CITU

Salah satu dari penyakit rohani yang amat berbahaya ialah nifaq. Orang yang memiliki sifat itu disebut munafiq.

Asal makna nifaq ialah menampilkan yang baik sedang hatinya tidak begitu. Munafiq dalam erti popular ialah orang yang suka berpura-pura, lain di mulut, lain di hati. Dari istilah syarak pula ia membawa maksud “orang yang menyembunyikan kekufuran dalam hatinya dan menyatakan iman dengan lidahnya”.

Di dalam al-Quran dirakamkan bagaimana sikap-sikap orang munafiq ini sebagaimana mafhum surah Al-Baqarah ayat 9 – 10: “Dan sebahagaian daripada manusia ada yang berkata: kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian, pada hal mereka sebenarnya bukanlah orang yang beriman. Mereka hendak menipu Tuhan dan tiadalah mereka tipu melainkan diri mereka sendiri, akan tetapi mereka tidak sedar. Di hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Alah penyakitnya dan adalah bagi mereka siksaan yang pedih, kerana mereka telah berdusta”
[Al-Baqarah ayat 9 – 10]

Firman Allah SWT. Lagi bermaksud: “Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: Kami telah beriman, tetapi apabila mereka berkumpul dengan pemimpin-pemimpin mereka , mereka berkata: sesungguhnya kami sependirian dengan kamudan kami hanyalah berolok-olok”
[Al-Baqarah ayat 14]

INDEKS AYAT AL-QURAN MENGENAI NIFAQ

Di dalam al-Quran surah khusus yang merakamkan sifat-sifat nifaq seperti di dalam surah al-Munafiqun, terdapat juga surah-surah lain yang menggambarkan bagaimanakah sebenarnya sifat dan sikap nifaq itu.

Untuk mengenali sifat dan sikap nifaq di samping mengenali lebih dekat lagi identiti dan watak orang munafiq itu lebih lanjut dirakamkan oleh Allah SWT di dalam Surah al-Munafiqun di mana ayat pertamanya (1) mengenai kepalsuan imannya, ayat ke (2) menjadikan sumpah sebagai perlindungannya, ayat ke (3) hatinya yang diliputi kabut dan ayat ke (4) mengenai ketakutan dan kecemasan.

Munafiq sebagai perosak
dirakamkan didalam Surah al-Baqarah ayat 11,12 dan 205.

Munafiq sebagai perusuh di dalam surah al-Ahzab ayat 60.

Munafiq yang menyalahi janjinya di dalam surah at-Taubah ayat 75 dan 76.

Munafiq yang takut terbongkar rahsianya di dalam Surah at-Taubah ayat 64.

Munafiq yang tidak ada pendirian dan ragu-ragu di dalam surah an-Nisa ayat 143.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tanda-tanda munafiq itu ada 3: dusta apabila dia berbicara, menyalahi janji apabila berjanji, khianat apabila dia dipercayai.
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan bahawa Umar Ibnul Khattab amat waspada dan berhati-hati sekali terhadap sifat nifaq. Beliau mendatangi Huzaifah, pemegang rahsia Nabi s.a.w. dalam masalah munafiq untuk bertanya kepadanya, kalau-kalau pengaruh nifaq itu ada dalam diri beliau.

Sahabat-sahabat Nabi SAW yang selalu waspada terhadap penyakit nifaq itulah merupakan contoh dan suri tauladan yang baik dalam pencegahan nifaq. Dengan demikian untuk mencegah jangan sampai menyelinap dalam jiwa ialah dengan jalan muraqabah, mengawasi diri sendiri dan bersikap lawwamah, berani menegur diri sendiri. Jika ternyata gejala-gejala nifaq itu ada maka untuk menyelamatkan diri dari kejahatannya ialah dengan jalan taubat dan istighfar kembali berjalan di atas garis-garis dan prinsip iman dan taqwa dan memerangi segala sikap, sifat dan cabang-cabang nifaq.

Tarikh: 20 Februari 2009/24 Safar 1430 H
SUMBANGAN PUSAT PEMIKIRAN DAN KEFAHAMAN ISLAM UiTM

Monday, February 23, 2009

KARYA DARI PELAJAR 5


ANAK-ANAK GAZA

anak-anak itu
kasihan pada mereka
terbiar kaku
terbiar layu

anak-anak itu
tidak mengerti apa yang berlaku
mereka hanya mangsa
yang mampu memerhati

kasihan pada mereka
kesan-kesan fosforus itu
bisa menganggu
malah
mampu membunuh mereka

anak-anak Gaza
sabarlah kamu
ketahuilah kami di sini
sentiasa mendoakan kamu

semoga doa kami untuk kamu
memberi sejuta kekuatan
memberi ribuan keimanan
untuk kamu tabah
kamu kuat dan sabar
dalam menghidupkan kembali
bumi Gaza ini


AHz IZZATI

STUDENTS’ NITE PRAYER


Assalamualaikum pembuka bicara
Ku di sini dah mula berkata
Mahu membebel sepatah dua
Mari kawanku sediakan telinga

“3rd language” subjek kegilaanku
Je parle Francaise jadi pilihan
Terima kasih banyak Dr. Alexandreku
Je m’appelle NaOH itulah gelaran

Drug Delivery System subjek kegemaran
Nano partikel untuk pengenalan
Bermandi peluh pensyarah terangkan
Namun emulsi tak jadi sebabku berangan

Subjek Marketing suam-suam kuku
Hakikat sebenar bukan pilihanku
Tapi fakulti dah tetapkan begitu
Tuhan bagilah kekuatan padaku

Anatomi fisiologi dan sistem badan
Ingatkan Endocrine System otakku terbeban
“NaOH bangun! Study! Esok test!” Soya kejutkan
Terpisat dan bangkit dari mimpi khayalan

Aku benci pengiraan titratan
Lembap cam kura-kura otakku berjalan
Kawan lain dah lama kat depan
Kimia analisis memang memeningkan

Agak nak pitam aspirinku telan
Sebab hafalan perlu diteruskan
Selepas ujian pastiku pengsan
Itu dia Chemoterapeutic Drug punya penangan

Ku tau nak sukses kena ada kesabaran
Tapi rambut pun dah tumbuh uban
Lalu ku jerit , “Oh masa, cepatlah berjalan!”
Sesungguhnya memang ku dah tak tertahan!!!!!!!!!!!

NaOH ….