tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan

My photo
Shah Alam, Selangor, Malaysia
SILA HANTARKAN KARYA ANDA BERSERTA GAMBAR KEPADA KAMI DI ALAMAT karseza09@yahoo.com

Monday, February 16, 2009

FOKUS MINGGU INI 1

Kenapa PALESTIN menjadi sasaran?

Pendita-pendita Bani Israel sentiasa mengaitkan kepercayaan agama Judisme dengan tanah suci Baitul Maqdis atau apa yang dikenali oleh masyarakat dunia sebagai kota Jurusalem. Ini berikutan bandar Jurusalem merupakan tempat bersejarah nabi-nabi dari kalangan Bani Israel dahulu kala, malah di situlah timbulnya ‘zaman keemasan’ sewaktu di bawah kepimpinan Nabi Sulaiman a.s.

Hakikatnya, Baitul Maqdis (Jurusalem) bukan sahaja merupakan tanah suci Bani Israel, tetapi juga bagi orang-orang Krisitan kerana di situlah tempat kelahiran Nabi Isa a.s. yang mereka sebut sebagai Jesus. Bagi umat Islam pula, Baitul Maqdis adalah salah satu di antara tiga tempat suci selain dari Makkah dan Madinah.

Bagaimanakah bermulanya sejarah Baitul Maqdis (Jurusalem) sebagai tanah suci kaum Yahudi? Mengapakah tempat tersebut dianggap hak milik eksklusif mereka sehingga mencetuskan berbagai konflik yang hebat dengan orang-orang Arab Palestin dan dunia Islam hari ini?

Dalam konteks sejarah Bani Israel, apabila Nabi Musa a.s. diperintahkan Allah untuk memimpin kaumnya untuk menuju ke ‘Tanah Yang Dijanjikan’ selepas bebas dari cengkaman kezaliman Firaun dengan menyeberang sungai Nil, tetapi belum sampai ke tempat tersebut, mereka telah mengingkari perintah Allah untuk berjihad memerangi kaum kafir di tanah tersebut. Akibat keingkaran itu, mereka tidak dapat memasuki tanah tersebut.

Tanah yang dijanjikan itu dikenali dalam sejarah sebagai wilayah Kan’an atau Palestin. Bumi berkat ini asalnya merupakan tempat penghijrahan Nabi Ibrahim a.s. atas perintah Allah selepas pengalaman menghadapi ancaman maut daripada raja Namrud semasa di Babylon (Iraq) kerana baginda memusnahkan berhala-berhala sembahan mereka. Oleh itu penghijrahan Bani Israel ke wilayah Kan’an adalah umpama ‘kepulangan semula’ ke tanah nenek moyang mereka.

Malangnya Bani Israel tidak mudah serik walaupun beberapa kali telah menerima hukuman kerana melanggar perintah Allah. Sebelum sampai ke tanah tersebut, sepeninggalan nabi Musa a.s. pergi bermunajat kepada Allah di Gunung Sinai (Bukit Thursina), mereka telah melakukan syirik dengan menyembah seekor anak lembu emas yang dibentuk.

Malah mereka terus menerus melakukan kezaliman serta perhambaan terhadap kaum-kaum lain yang dikuasai. Dalam masa yang sama mereka terlibat dengan kegiatan maksiat seperti minum arak dan berjudi walaupun larangannya telah terkandung di dalam kitab Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. sebelum ini.

Apabila Nabi Musa a.s telah wafat, digantikan dengan Nabi Yusha’, perangai Bani Israel makin menunjukkan tanda-tanda kepesongan, walaupun telah diingatkan oleh Nabi. Mereka telah mencipta berbagai jenis minuman keras dan permainan judi bertujuan untuk melekakan kaum yang dikuasai mereka, supaya tidak ada peluang bagi kaum yang dikuasai itu memikirkan jalan untuk menentang mereka.

Bukankah keadaan tersebut menyerupai penghidupan dunia moden masa kini yang didominasi oleh orang-orang kafir Yahudi dan Nasrani. Lakukan kezaliman dan penindasan, sogokan dengan hiburan dan maksiat yang asyik dan melekakan supaya mereka tidak ditentang?

Perbuatan melakukan kerosakan ini telah menyebabkan mereka dibenci dan diancam oleh kaum lain di antaranya kaum Amalakit yang dipimpin oleh Jalut, sehingga akhirnya mereka sendiri menjadi pelarian. Dengan kemunculan Nabi Daud sebagai pahlawan, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dan menguasai semula Palestin. Semasa pemerintahan Nabi Daud, baginda mula mendirikan Haikal Sulaiman tetapi tidak sempat menyiapkannya. Di sini jugalah Bani Israel dibimbing dengan ajaran-ajaran kitab Taurat. Firman Allah SWT bermaksud: “Kemudian mereka itu mengalahkan Jalut serta tenteranya dengan izin Allah, dan Daud dapat membunuh Jalut dan Allah memberikan kerajaan dan hikmah kepada Daud serta mengajarkan apa-apa yang dikehendakinya. (al-Baqarah:251)

Selepas kewafatan Nabi Daud, anaknya Nabi Sulaiman a.s. meneruskan rancangan pembinaan masjid tersebut dan ia telah menjadi simbol keagungan era pemerintahan Nabi Sulaiman a.s. Walau bagaimanapun selepas kewafatan baginda, Bani Israel berpecah belah dan bercakaran sesama sendiri. Terbentuklah dua kerajaan Bani Israel, Kerajaan Utara dan Kerajaan Selatan. Kerajaan Selatan terdiri dari suku Yahuda dan Bunyamin. Kerajaan Selatan (Yahuda) telah menjadikan Baitul Maqdis sebagai ibu negerinya.

Kerajaan Yahuda inilah yang telah mewujudkan ‘tuhan’ Yahweh yang khusus untuk Bani Israel dan bersifat perkauman, pembenci serta pembalas dendam. Mereka juga menyelewengkan ajaran Nabi Musa apabila ketua mereka mencemarkan Kitab Taurat dengan mengubah pinda serta menokok tambah termasuk menghalalkan apa yang Allah SWT telah haramkan contohnya dalam perkara riba.

Selain giat berperang antara satu sama lain, suku-suku Bani Israel juga telah membunuh n\Nabi Zakaria a.s. dan memenggal leher puteranya Nabi Yahya a.s. dan cuba membunuh Nabi Isa a.s. di atas salib, bagaimanapun Allah telah menyelamatkan baginda dengan membawanya ke langit. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan kerana perbuatan mereka; sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih, Isa anak mayram, seorang Rasulullah. Padahal bukanlah mereka membunuhnya dan bukan pula menyalibnya, melainkan orang yang serupa dengannya ” (al-Nisa’:157)

Tarikh: 23 Januari 2009/26 Muharram 1430H
SUMBANGAN PUSAT PEMIKIRAN DAN KEFAHAMAN ISLAM UiTM

No comments:

Post a Comment