tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan

My photo
Shah Alam, Selangor, Malaysia
SILA HANTARKAN KARYA ANDA BERSERTA GAMBAR KEPADA KAMI DI ALAMAT karseza09@yahoo.com

Monday, February 16, 2009

FOKUS MINGGU INI 2

Bertaut Dengan Allah, Berkasih dengan Manusia

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Akan tiba masanya manusia akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat Islam), sebagaimana orang mempelawa satu sama lain untuk menjamah hidangan makanan (i.e bangsa-bangsa akan memujuk dan mengajak yang lain untuk bergabung bagi memusnahkan umat Islam dengan apa cara sekalipun). Seorang sahabat bertanya: ’Apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah?’ Baginda menjawab: ’Bahkan, bilangan kamu di waktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ibarat buih di atas air ketika banjir. Allah akan mencabut ketakutan dari dada musuh kamu dan Dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit al-Wahn’. Seorang sahabat bertanya pula: ‘Ya Rasulullah, apakah dia al-Wahn itu?’ Jawab Rasulullah: “Cinta dunia dan takut mati.”

Penyakit al-Wahn akan menyebabkan umat Islam merosakkan serta memudaratkan hubungan mereka dengan Allah, iaitu hablun minallah, apatah lagi hubungan mereka sesama manusia, iaitu hablun minannas.

Contoh dari aspek hablun minallah atau hubungan dengan Allah SWT, realiti umat Islam hari ini tidak ramai yang mempunyai sifat Taqwa dan Tawadhuk yang sempurna zahir dan batin. Mereka bersolat tetapi tidak khusyuk, fikiran menerawang ke sana sini, kebesaran Allah sedikit pun tidak hadir dalam jiwa sanubari mereka. Sedangkan jikalaulah yang dihadapkan itu adalah seorang raja atau pembesar negara, maka sudah tentu tumpuan yang penuh akan diberikan secara sukarela.

Firman Allah SWT yang maksudnya: “Sebab itu celaka untuk orang-orang yang bersolat, yang lalai dari solatnya, yang mengerjakan kebaikan untuk dilihat orang.” (Al-Ma’un: 4-6) Firman-Nya lagi bermaksud: “Bila mereka berdiri mengerjakan solat, mereka berdiri dengan amat malasnya. Mereka mengerjakannya supaya dilihat manusia sahaja. Mereka tidak mengingati Tuhan melainkan hanya sedikit sahaja.” (al-Nisa’:142)

Sifat ikhlas demi mencari keredhaan Allah SWT juga tidak wujud dalam kamus hidup mereka. Amalan-amalan zikir sudah menjadi perkara yang terlalu asing dari jadual kehidupan harian. Hati mereka sedikitpun tidak berdetik melihat perkar-perkara maksiat berlaku secara berleluasa di sekeliling. Amaran-amaran Allah mengenai Hari Kiamat, Hari Hisab serta siksaan api Neraka sedikit pun tidak menggetarkan jiwa mereka dengan perasaan takut. Kecintaan kepada Rasulullah SAW dan rasa penghormatan kepada para sahabat baginda hampir tidak wujud. Para ulama yang merupakan ’waratharatul anbiya’ diperlekehkan ilmu mereka dan tidak dihormati sebagaimana sepatutnya.

Umat Islam hari ini rata-rata lupa bahawa takwa itu mencakupi unsur-unsur ZAHIR dan BATIN, iaitu bukan sahaja mencakupi amal ibadat zahihiriyyah tetapi juga perkara-perkara yang berkaitan dengan soal hati. Oleh kerana kebanyakan mereka hanya memikirkan perkara-perkara zahiriyyah dan melupakan perkara-perkara batiniyyah, maka ianya menjadi musibah besar kerana hati-hati mereka telah bersarang dengan sifat-sifat keji sehingga ada yang terjerumus kepada perkara kufur batin.

Firman Allah SWT yang maksudnya: “Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan perintah Allah, bertambah kekufuran mereka di samping kekufurannya yang telah ada, dan mereka mati dalam keadaan kufur.” (al-Taubah:125).

Firman Allah SWT lagi maksudnya: “Dan ingatlah ketika orang munafik dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata: “Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipudaya.” (al-Ahzab:12)

Dari aspek hablun minannas, atau hubungan sesama manusia, umat Islam juga mempunyai sejarah yang amat buruk. Mereka menjadi orang-orang yang rendah akhlaknya, penipu, putar belit, penganiaya (kepada manusia dan binatang), tamak haloba, pemeras, hasad, khianat dan pengampu. Mereka berpuasa tetapi lidah mereka masih tetap tidak terpelihara dari umpatan dan kejian, masih menipu dalam perkara jualbeli, menikam saudara seagama dari belakang, memutuskan ukhuwwah Islamiyyah, berhasad dengki dengan kelebihan orang lain dan pengamal kepada falsafah ‘siapa kuat dia dapat’ (iaitu tidak lagi berpegang kepada konsep benar – salah).

Sedangkan pada hakikatnya, ajaran Islam yang lengkap dan sempurna bawaan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda telah terkandung segala unsur-unsur humanisme yang sebenar kerana Islam agama kesejahteraan zahir dan batin, dunia dan akhirat. Malangnya disebabkan umat Islam telah meninggalkan ajaran tasawuf dalam kehidupan mereka, maka unsur-unsur humanisme yang hakiki telah disingkirkan, langsung diambil tempatnya oleh falsafah Humanisme acuan Barat yang menitikberatkan persoalan kesejahteraan manusia di dunia dan memperjuangkan hak asasi kemanusiaan yang terkandung banyak unsur-unsur syirik (i.e membela golongan lesbian dan homoseks, pergaulan bebas, zina, mencemuh ikatan perkahwinan, mempertahankan kod moral yang bercanggah dengan ajaran Islam dan banyak lagi).

Bagaimanakah sifat-sifat terpuji yang berkaitan dengan hablun minallah dan hablun minannas seperti tawakkal, redha, takwa, tawadhuk, ikhlas, kasih mengasihi dan sebagainya dapat disesuaikan dengan falsafah Humanisme yang berpegang kepada konsep yang bertentangan dengan sifat tersebut? Sedangkan falsafah Humanisme acuan Barat itu tidak mengikat dirinya kepada konsep Tauhid. Lalu tidak hairanlah umat Islam yang mengambil Humanisme Barat sebagai pegangannya, mereka berada di tahap yang paling rendah, tidak hairanlah mereka diinjak-injak, dicerobohi dan diratah-ratah serta mendapat penghinaan besar oleh bangsa-bangsa lain khususnya orang kafir Barat. Adakah layak mereka mendapat pertolongan Allah SWT?.

Tarikh: 30 Januari 2009/3 Safar 1430H
SUMBANGAN PUSAT PEMIKIRAN DAN KEFAHAMAN ISLAM UiTM

No comments:

Post a Comment