tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan

My photo
Shah Alam, Selangor, Malaysia
SILA HANTARKAN KARYA ANDA BERSERTA GAMBAR KEPADA KAMI DI ALAMAT karseza09@yahoo.com

Monday, February 16, 2009

BIMBINGAN SEERAH SIRI 03


Nabi Luth dan suku Kan’an di Palestin
Susunan: Khairia Ismail

Bumi Palestin pada awalnya dikenali sebagai bumi Kan’an sempena mengambil nama kabilah Kan’an yang berhijrah ke sana pada tahun 2500SM. Kabilah ini telah membina 200 buah kota dan desa di Palestin seperti kota Bisan, Asqalan, Aka, Aifa, al-Khalil (Hebron), Biir Sab’a dan Baitul Maqdis.

Nabi Ibrahim yang berasal dari Babilon (Iraq) berpindah ke Palestin bersama keluarganya dan Nabi Lut a.s. Di Palestin, Nabi Lut a.s. telah diutuskan untuk menyeru kabilah Kan’an yang menyembah patung dan berhala supaya menyembah Allah Yang Esa. Kehendak Allah juga telah memutuskan bahawa Dia akan membinasakan kaum Luth itu yang telah melakukan perbuatan keji yang belum pernah ada orang melakukannya sebelum mereka di dunia pada masa itu. Kaum lelakinya telah dijangkiti penyakit homoseksual. Maka Allah telah mengutuskan malaikat untuk membinasakan mereka.

Sebelum itu para malaikat tersebut telah menyamar sebagai anak-anak muda dan berkunjung ke rumah Nabi Ibrahim a.s. Sebagaimana biasa Nabi Ibrahim a.s. akan melayani tetamu dengan baik dan akhirnya dia diberitahu mereka adalah para malaikat yang telah diutus oleh Allah untuk membinasakan penduduk Sodom dan Amurah (kaum Luth). Mereka juga membawa khabar gembira bahawa Allah akan mengurniakannya seorang anak yang bernama Ishak, dan bahawa (nabi) Ishak akan dikurniakan seorang anak yang diberi nama (nabi) Ya’akub.

Peristiwa ini dirakamkan di dalam al-Quran bermaksud:
“Dan sesungguhnya utusan-utusan Kami (malaikat-malaikat) telah datang kepada Ibrahim dengan membawa khabar gembira, mereka mengucapkan, ‘Selamat’. Ibrahim menjawab, ‘Selamatlah’ maka tidak lama kemudian Ibrahim menghidangkan daging anak sapi yang dipanggang. Maka tatkala dilihatnya tangan mereka tidak menjamahnya, Ibrahim memandang aneh perbuatan mereka, dan merasa takut kepada mereka. Malaikat itu berkata, ‘Jangan kamu takut, sesungguhnya kami adalah malaikat-malaikat yang diutus kepada kaum Luth.’ Dan isterinya berdiri (di sampingnya) lalu dia tersenyum, maka Kami sampaikan berita gembira tentang (kelahiran) Ishak dan sesudah Ishak (lahir pula) Ya’akub. Isterinya berkata, ‘Sungguh menghairankan, apakah aku akan melahirkan anak padahal aku adalah seorang perempuan tua, dan ini suamiku pun dalam keadaan yang sudah tua pula? Sesungguhnya ini benar-benar suatu yang sangat aneh.’ Para malaikat itu berkata, ‘Apakah kamu merasa hairan tentang ketetapan Allah? (Itu adalah) rahmat Allah dan keberkatan-Nya, dicurahkan atas kamu, hai ahlul bait. Sesungguhnya Allah Maha Terpuji lagi Maha Pemurah’. Maka tatkala rasa takut hilang dari Ibrahim dan berita gembira telah datang kepadanya, dia pun bersoal jawab dengan malaikat Kami tentang kaum Luth. Sesungguhnya Ibrahim itu benar-benar seorang yang penyantun lagi merendahkan diri dan suka kembali kepada Allah. Hai Ibrahim, tinggalkanlah soal jawab ini, sesungguhnya telah datang ketetapan Tuhanmu, dan sesungguhnya mereka itu akan didatangi azab yang tidak dapat ditolak.”
(Surah Hud:69-76)

No comments:

Post a Comment