tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan

My photo
Shah Alam, Selangor, Malaysia
SILA HANTARKAN KARYA ANDA BERSERTA GAMBAR KEPADA KAMI DI ALAMAT karseza09@yahoo.com

Monday, February 16, 2009

FOKUS MINGGU INI 3

Akidah Ahli Sunnah wal Jemaah

Akidah yang sah adalah bertepatan iktikad Ahli Sunnah Wal Jemaah berdasarkan beberapa dalil daripada hadis-hadis yang sahih. Antaranya, sabda Rasulullah SAW; “Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rashidin yang di atas petunjuk.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi – Hasan Sahih).

As-Sunnah, di sudut bahasa, seperti yang disebutkan dalam kamus Lisanul Arab, bermaksud at-tariqah atau jalan, sama ada yang terpuji atau yang tercela. Mengikut golongan Ahli Hadis yang terdahulu, seperti yang dijelaskan oleh Mustafa as-Siba’ii dalam As-Sunnah Wa Makanatuha Fit Tasyri’ al-Islam, as-Sunnah bermaksud; “Sesuatu riwayat yang datang daripada Nabi SAW sama ada berbentuk perkataan, perbuatan, pengakuan, kejadian, akhlak atau sirah yang berkaitan dengan baginda, sama ada yang berlaku sebelum atau selepas baginda diangkat menjadi Rasul”.

Pada zaman mutakhir, persoalan akidah difokuskan oleh ulama ketika mendefinisikan maksud as-Sunnah. Ibn Rajab dalam Jami’ul Ulum Wal Hikam merumuskan pandangan ini dengan berkata; “As-Sunnah berkaitan dengan sesuatu yang sejahtera daripada sebarang kesamaran atau keraguan dalam iktikad, khususnya dalam persoalan yang berkaitan dengan iman kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya dan hari akhirat. Demikian juga persoalan qadar dan keutamaan sahabat-sahabat Nabi SAW”.

Berhubung dengan perkataan al-Jemaah, ia adalah suatu golongan yang berjalan di atas landasan kebenaran, seperti yang disabdakan oleh Nabi SAW; “Sesungguhnya golongan Yahudi dan Nasrani telah berpecah dalam agama mereka kepada 72 kumpulan. Umat ini akan berpecah kepada 73, kesemuanya di dalam neraka kecuali satu, iaitu al-Jemaah.”(Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Hakim dan lain-lain).

Sahabat Abdullah ibn Masud berpendapat, al-Jemaah ialah golongan yang menepati kebenaran walaupun dalam keadaan seorang diri. Imam Ibn Taimiyah dalam Majmuk al-Fatawa berpendaapt, al-Jemaah bermaksud al-ijtimak atau perpaduan dan lawannya ialah al-furqah atau perpecahan. Justeru itu, al-Jemaah melambangkan suatu golongan yang bersatu. Dalam kitab Fathul Bari dinukilkan pendapat Imam Bukhari yang mengatakan, al-Jemaah ialah ahli ilmu dan pendapat yang sama diutarakan oleh Ibn Sinan. Imam as-Syatibi, al-Jemaah ialah para sahabat Rasulullah SAW secara khusus kerana akhirnya berjaya menegakkan kebenaran.

Abu Syamah dalam kitab al-Ba’ith berkata; “Yang dimaksudkan dengan perintah berpegang kepada al-Jemaah ialah berpegang dengan landasan al-Haq atau kebenaran serta mengikutnya. Hal ini disebabkan, al-Haq ialah landasan yang diikuti oleh jemaah yang pertama daripada kalangan Nabi SAW dan para sahabat dan ia tidak diukur mengikut jumlah pengikut-pengikutnya”.

Berpandukan nas dan tafsiran ulama, golongan Ahli sunnah Wal Jemaah ialah suatu golongan yang berpegang kepada prinsip-prinsip akidah yang berasaskan al-Quran dan as-Sunnah, serta berpandukan landasan para sahabat baginda serta ulama mujtahid yang muktabar. Sehubungan dengan ini, Imam Ibn Hazm berkata; “Ahli Sunnah Wal Jemaah ialah sahabat-sahabat Nabi SAW dan mereka yang mengikut minhaj serta landasan sahabat-sahabat baginda daripada kalangan tabiin, ahli hadis serta ulama fikah, daripada generasi ke generasi hinggalah ke hari ini”. Berpandukan dalil-dalil, antara ciri-ciri penting yang terdapat pada golongan Ahli Sunnah Wal Jemaah ialah:

•Mereka mengikut landasan al-Quran dan as-Sunnah dalam kehidupan mereka.

•Ketaatan mereka ialah kepada kebenaran bukan berdasarkan fanatik kesukuan, warna kulit, bangsa, tarekat, kedaerahan dan seumpamanya.

•Mereka mengiktiraf wujudnya perbezaan pendapat di sudut fikah terutamanya dalam perkara cabang dan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk berpecah belah.

•Mereka meyakini al-Quran ialah Kalam Allah yang qadim bukannya makhluk.

•Mereka meyakini Allah tidak dapat dilihat di dunia ini. Di akhirat nanti orang yang beriman dapat melihat Allah dengan kedua mata mereka.

•Mereka meyakini iman mempunyai perkara pokok dan cabangnya. Kemaksiatan seseorang tanpa menjejaskan perkara pokok tidak menyebabkan seseorang menjadi murtad.

•Mereka mencintai Rasululhah SAW, ahlul bait, isteri-isteri serta sahabat-sahabat baginda tanpa meyakini adanya kemaksuman kepada sesiapa pun kecuali baginda.

•Mereka berjihad demi mencegah kemungkaran dan menegakkan kebenaran seperti yang dikehendaki oleh al-Quran dan as-Sunnah.

•Mereka mencintai orang-orang yang salih dan para wali Allah dan memberikan penghormatan kepada mereka. Namun mereka meyakini, golongan ini tidak dapat memberikan sebarang kemanfaatan atau mendatangkan sebarang kemudaratan kepada manusia terutamanya selepas mereka mati.

•Mereka meyakini keramat dan kejadian yang luar biasa harus berlaku ke atas para aulia hasil kurniaan daripada Allah.

(Sebahagian rencana dipetik dari buku ”Empayar Minda Muslim” oleh Dr. Danial Zainal Abidin)

Tarikh: 06 Februari 2009/10 Safar 1430H
SUMBANGAN PUSAT PEMIKIRAN DAN KEFAHAMAN ISLAM UiTM

No comments:

Post a Comment