tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan

My photo
Shah Alam, Selangor, Malaysia
SILA HANTARKAN KARYA ANDA BERSERTA GAMBAR KEPADA KAMI DI ALAMAT karseza09@yahoo.com

Wednesday, February 25, 2009

FOKUS MINGGU INI 5

LAIN DI MULUT, LAIN DI HATI

Oleh: Hjh. Nor Rihah Hj. Mohd Nadzir (K.B.,P.A)CITU

Salah satu dari penyakit rohani yang amat berbahaya ialah nifaq. Orang yang memiliki sifat itu disebut munafiq.

Asal makna nifaq ialah menampilkan yang baik sedang hatinya tidak begitu. Munafiq dalam erti popular ialah orang yang suka berpura-pura, lain di mulut, lain di hati. Dari istilah syarak pula ia membawa maksud “orang yang menyembunyikan kekufuran dalam hatinya dan menyatakan iman dengan lidahnya”.

Di dalam al-Quran dirakamkan bagaimana sikap-sikap orang munafiq ini sebagaimana mafhum surah Al-Baqarah ayat 9 – 10: “Dan sebahagaian daripada manusia ada yang berkata: kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian, pada hal mereka sebenarnya bukanlah orang yang beriman. Mereka hendak menipu Tuhan dan tiadalah mereka tipu melainkan diri mereka sendiri, akan tetapi mereka tidak sedar. Di hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Alah penyakitnya dan adalah bagi mereka siksaan yang pedih, kerana mereka telah berdusta”
[Al-Baqarah ayat 9 – 10]

Firman Allah SWT. Lagi bermaksud: “Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: Kami telah beriman, tetapi apabila mereka berkumpul dengan pemimpin-pemimpin mereka , mereka berkata: sesungguhnya kami sependirian dengan kamudan kami hanyalah berolok-olok”
[Al-Baqarah ayat 14]

INDEKS AYAT AL-QURAN MENGENAI NIFAQ

Di dalam al-Quran surah khusus yang merakamkan sifat-sifat nifaq seperti di dalam surah al-Munafiqun, terdapat juga surah-surah lain yang menggambarkan bagaimanakah sebenarnya sifat dan sikap nifaq itu.

Untuk mengenali sifat dan sikap nifaq di samping mengenali lebih dekat lagi identiti dan watak orang munafiq itu lebih lanjut dirakamkan oleh Allah SWT di dalam Surah al-Munafiqun di mana ayat pertamanya (1) mengenai kepalsuan imannya, ayat ke (2) menjadikan sumpah sebagai perlindungannya, ayat ke (3) hatinya yang diliputi kabut dan ayat ke (4) mengenai ketakutan dan kecemasan.

Munafiq sebagai perosak
dirakamkan didalam Surah al-Baqarah ayat 11,12 dan 205.

Munafiq sebagai perusuh di dalam surah al-Ahzab ayat 60.

Munafiq yang menyalahi janjinya di dalam surah at-Taubah ayat 75 dan 76.

Munafiq yang takut terbongkar rahsianya di dalam Surah at-Taubah ayat 64.

Munafiq yang tidak ada pendirian dan ragu-ragu di dalam surah an-Nisa ayat 143.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tanda-tanda munafiq itu ada 3: dusta apabila dia berbicara, menyalahi janji apabila berjanji, khianat apabila dia dipercayai.
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan bahawa Umar Ibnul Khattab amat waspada dan berhati-hati sekali terhadap sifat nifaq. Beliau mendatangi Huzaifah, pemegang rahsia Nabi s.a.w. dalam masalah munafiq untuk bertanya kepadanya, kalau-kalau pengaruh nifaq itu ada dalam diri beliau.

Sahabat-sahabat Nabi SAW yang selalu waspada terhadap penyakit nifaq itulah merupakan contoh dan suri tauladan yang baik dalam pencegahan nifaq. Dengan demikian untuk mencegah jangan sampai menyelinap dalam jiwa ialah dengan jalan muraqabah, mengawasi diri sendiri dan bersikap lawwamah, berani menegur diri sendiri. Jika ternyata gejala-gejala nifaq itu ada maka untuk menyelamatkan diri dari kejahatannya ialah dengan jalan taubat dan istighfar kembali berjalan di atas garis-garis dan prinsip iman dan taqwa dan memerangi segala sikap, sifat dan cabang-cabang nifaq.

Tarikh: 20 Februari 2009/24 Safar 1430 H
SUMBANGAN PUSAT PEMIKIRAN DAN KEFAHAMAN ISLAM UiTM